Wednesday, 8 April 2009

Kami belum dapat maafkan dia’

JASIN: “Belum terbuka lagi hati kami untuk memaafkannya. Apa yang pasti, hati kami sangat terguris dengan sikap dan tindakan guru agama itu. Kalau boleh, biarlah dia sendiri rasa apa yang kami sekeluarga rasa pada masa ini,” keluh ibu kepada Mohamad Norharezal Mohd Faizal, 11, murid sebuah sekolah agama swasta di Muar, dekat sini, yang mendakwa dirotan lebih 20 kali oleh seorang ustaz pada Sabtu lalu.Noormala Budin, 27, berkata dia dan ahli keluarganya sepakat tidak akan menarik balik laporan yang dibuat di Balai Polis Sungai Mati, Muar pada Ahad lalu walaupun diminta berbuat demikian oleh pentadbir sekolah agama terbabit.“Terus terang saya katakan, kami sekeluarga amat kecewa apabila kejadian itu diperlakukan ke atas anak saya. Ibu mana yang tidak sedih melihat anaknya dipukul umpama binatang dan kesannya boleh dilihat dengan mata kasar.“Sebab itu, saya membuat laporan polis supaya pihak sekolah, khusus ustaz yang memukul anak saya itu mendapat pengajaran daripada perbuatannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Debunga, Merlimau di sini, semalam.
Sebelum itu, keluarga Mohamad Norharezal dikunjungi beberapa pentadbir sekolah agama terbabit kira-kira jam 3 petang. Turut kelihatan ialah ustaz yang didakwa merotannya.
Noormala berkata, keluarganya turut kesal apabila pihak sekolah agama berkenaan langsung tidak mengambil tahu kesakitan yang ditanggung anak sulungnya itu selepas dirotan.“Apa yang diberitahu anak saya, dia amat sakit selepas dirotan, malah pada malam kejadian, Mohamad Norharezal terpaksa dipapah rakannya untuk mengambil wuduk dan solat dalam keadaan duduk kerana kesakitan.“Mendengar ceritanya sudah menyebabkan saya cukup sedih. Memang tidak boleh digambarkan bagaimana keadaan anak saya ketika dipukul,” katanya.Sementara itu, suasana ‘panas’ mewarnai perbincangan kedua-dua pihak menyebabkan ustaz berkenaan tidak mampu berkata apa-apa selain memohon maaf kepada keluarga mangsa.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails