Klik Follow Di Bawah Sebelum Copy Bahan ni

Sunday, 21 March 2010

Jangan ketepikan pembangunan akhlak

Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tuanku Bainun hari ini menegur sikap sesetengah sekolah, ibu bapa dan masyarakat yang berterusan mengejar pencapaian akademik sehingga mengabaikan didikan agama dan akhlak pelajar.

Mengambil contoh pembuangan bayi yang semakin berleluasa, baginda yang juga Raja Permaisuri Perak berharap golongan pendidik terutama guru-guru baru mengambil inisiatif membantu mengurangkan gejala sosial yang dihadapi negara kini.

"Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah menggariskan sasaran menghasilkan insan yang seimbang dari segi akademik, jasmani, rohani dan emosi.

"Malangnya, berlaku ketirisan dalam pelaksanaannya dan tidak menghairankan apabila sistem pendidikan kita kini melahirkan ramai cerdik pandai yang cetek agama dan rendah akhlaknya," titah baginda ketika merasmikan Konvokesyen Ke-12 UPSI di sini hari ini.

Seramai 1,577 graduan UPSI dijadualkan menerima ijazah masing-masing pada konvokesyen tersebut yang diadakan pada hari ini dan esok.

Pada majlis itu, Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Islam di atas jasa dan sumbangannya dalam pendidikan Islam dan pembangunan ummah.

Menurut Tuanku Bainun, ramai pihak lebih suka menuding jari kepada teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), arus kemodenan, pihak sekolah dan ibu bapa sebagai punca kerosakan akhlak di kalangan pelajar.

Baginda bagaimanapun menegaskan pentingnya usaha ditumpu kepada mencari jalan penyelesaian masalah tersebut daripada menghabiskan masa dan tenaga mencari pihak untuk disalahkan.

"Keluarga tanpa agama akan sesat jauh tetapi peranan institusi pendidikan serta guru dalam mendidik akhlak mulia juga amat penting.

"Jika guru dan sekolah gagal membentuk akhlak pelajar, beta khuatir akan lahir lebih ramai penjenayah kolar putih pada masa depan," titah baginda.

Baginda meminta pihak sekolah supaya menumpukan perhatian terhadap pelajar yang terlibat dalam kes samseng, buli, ugut, gaduh atau perlakuan sumbang dan bukan sekadar menutup kes tersebut untuk menjaga nama baik sekolah ia tidak wajar dan berbahaya.

"Jika pelajar bermasalah ini dibiarkan, mereka hanya akan membawa masalah sosial ke dalam masyarakat selepas meninggalkan alam persekolahan," titah baginda.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails