Friday, 15 May 2009

PM HARGAI SUMBANGAN PENDIDIK

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak malam tadi mengajak rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada golongan pendidik di negara ini sempena sambutan Hari Guru hari ini. Dalam tulisan terkini dalam blog 1Malaysia.com.my, Perdana Menteri merakamkan terima kasih kepada golongan pendidik yang berkorban untuk membina pemikiran setiap generasi Malay-sia. “Saya berharap golongan yang dihormati ini akan terus berkhidmat dengan dedikasi untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau berpendapat golongan guru adalah antara wira paling terabai di negara ini, hinggakan adakalanya ditempatkan di kawasan perkampungan yang jauh di pedalaman negara. “Mereka ini menghabiskan sebahagian besar daripada kehidupan mereka mengasuh dan membentuk anak-anak orang lain menjadi bakal modal insan yang akan mendorong pertumbuhan negara tercinta ini. “Sering kali pula tanggungjawab mereka memerlukan pengorbanan peribadi yang kadang kala tidak diendahkan dan dihargai oleh mereka yang menerima khidmat bakti mereka,” katanya.
Sehubungan itu, katanya jasa dan bakti guru tidak seharusnya hanya diingati setahun sekali, sebaliknya pengorbanan dan sumbangan mereka mesti diingati dan dihargai setiap hari. “Sebagai ibu dan bapa, kita semua mahukan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak kita dan berharap mereka akan berkembang menjadi ahli masyarakat yang berguna,” katanya. Najib berkata guru bukan hanya semata-mata bertujuan mengajar pelajar membuat kira-kira tolak atau campur, atau untuk membaca dan menulis dalam pelbagai bahasa, atau pun untuk menghafal tarikh-tarikh penting dalam sejarah negara. Kehadiran mereka, kata Perdana Menteri adalah untuk mendidik anak bangsa untuk menjadi kreatif, menjelaskan pandangan diri mereka dengan baik dan memahami peranan dan potensi diri dalam masyarakat.

Popular Posts

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails